Naffnang

Tuesday, January 9, 2018

Stres Di Kalangan Wanita Bekerjaya Dan Berkeluarga

Memahami Peranan Tanggungjawab dan Tugas

Tekanan adalah perasaan kebimbangan dan ketegangan fizikal yang berlaku apabila permintaan atau andaian terhadap diri seseorang melebihi kemampuan individu tersebut untuk mengatasinya. Penglibatan dan peranan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara sememangnya tidak pernah dipertikaikan. Para wanita turut menyumbangkan tenaga hampir dalam setiap sektor samada ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Budaya hidup masyarakat di negara ini juga sudah menerima wanita sebagai penyumbang kepada ekonomi keluarga, apatah lagi dengan keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi seperti sekarang.

Begitupun, wanita bekerjaya mempunyai cabaran tersendiri lebih-lebih lagi pada masa yang sama mereka memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Wanita harus sedar bahawa kesibukan mereka dalam menguruskan kerjaya haruslah diseimbangkan dengan tanggungjawab mereka dalam urusan rumahtangga.

Sebagai seorang wanita, mereka mempunyai tanggungjawab terhadap suami, anak dan majikan. Tidak diragukan lagi bahawa wanita memikul tanggungjawab yang besar di rumah suaminya. Tanggungjawab ini jauh lebih besar daripada sekadar memberikan layanan kepada suami, memberi anak-anak makan minum dan mengurus rumah. Wanita yang bergelar isteri merupakan sumber inspirasi atau faktor kemajuan suaminya.



Tentunya seorang ibu memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan satu generasi yang berkembang baik daripada aspek rohani dan jasmani. Ibu adalah insan yang paling dekat dengan anak lebih-lebih lagi dalam fasa pertama masa kanak-kanak. Dialah yang menanamkan prinsip-prinsip serta akhlak dalam diri mereka atau sebaliknya membiarkan mereka menjadi mangsa kebodohan dan penyimpangan. Masa depan anak-anak tersebut bergantung pada cara dia dibesarkan. Oleh itu ibu harus menunjukkan teladan yang baik agar anak-anaknya tidak tersalah arah.

Seseorang wanita yang bekerjaya turut mempunyai peranan sebagai seorang pekerja. Mereka seharusnya menggembeleng tenaga untuk memajukan negara. Sebagai seorang wanita bekerjaya, mereka seharusnya bersikap lebih profesional dan tidak terbawa-bawa masalah rumahtangga ke tempat kerja dan sebaliknya.

Pengurusan Masa

Menurut Dr. Yusof Al-Qardawi (1986) terdapat pepatah Arab yang menyatakan ‘pengurusan masa adalah penting bagi wanita yang bekerjaya kerana mereka perlu bijak dalam membahagikan masa antara tanggungjawab dalam kerjaya sebagai seorang pekerja dan tanggungjawab terhadap keluarga’. Ramai yang akan berasa bahawa masa berjalan begitu pantas sehinggakan 24 jam dalam sehari adalah tidak mencukupi untuk seseorang itu melaksanakan tugasan harian. Oleh itu, masa seharusnya diurus dengan lebih efektif agar tidak wujud pembaziran masa.

Sebagai wanita yang bekerjaya mereka seharusnya menetapkan jadual kerja. Dengan adanya jadual berkerja, akan mengelakkan pembaziran waktu dan kerja-kerja dapat diselesaikan dengan lebih terancang dan teratur. Senaraikan dan susun mengikut keutamaan walaupun senarai itu panjang, dengan adanya disiplin yang ketat pasti dapat diselesaikan.

Kerja pejabat seharusnya diselesaikan di pejabat. Jika kerja-kerja yang tidak dapat diselesaikan dibawa pulang, pasti akan mengurangkan masa bersama keluarga kerana terlalu sibuk mahu menghabiskan kerja pejabat. Secara tidak langsung akan mengehadkan komunikasi antara ahli keluarga. Apabila berada di pejabat pula, mereka seharusnya melupakan hal rumah untuk seketika. Justeru itu, mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian untuk menghabiskan kerja di pejabat dan dapat mengelak daripada membawa balik kerja pejabat ke rumah.

Luangkan masa yang berfaedah bersama keluarga. Lakukan aktiviti berfaedah bersama-sama dengan anak-anak. Contohnya, bacakan buku pada anak-anak sebelum tidur, bermain bersama anak-anak atau makan bersama dengan anak dan suami. Pada masa inilah yang boleh digunakan untuk mendalami, mendekati serta memahami anak-anak.

Masa yang terhad sering membuatkan seseorang kelam-kabut. Sebagai ibu bekerjaya, lebih dari separuh hari dihabiskan di pejabat dan selepas itu menguruskan rumah tangga. Keadaan ini sudah tentu akan membuatkan wanita tesebut penat sehingga kadangkala mengabaikan urusan rumah tangga. Dalam keadaan ini, adalah tidak salah jika suami turut membantu. Selain itu, anak-anak juga boleh diberi kepercayaan untuk meringankan beban si ibu.

Sistem kehidupan juga turut dapat membantu dalam menguruskan masa dengan baik malah mereka juga akan berasa lebih tenang apabila berhadapan dengan masalah. Wujudkan sistem peraturan bagi setiap aktiviti dalam rumah dengan melibatkan seisi keluarga. Sebagai contoh, sediakan bakul khas untuk meletakkan pakaian kotor. Asingkan pakaian kotor yang dipakai ke pejabat dan di rumah. Selain itu, sediakan bakul khas untuk pakaian berwarna dan putih juga. Dengan cara ini, anda tidak perlu bersusah-payah mengumpul dan mengasingkan pakaian kotor apabila tiba waktu mencuci serta ia juga dapat menjimatkan masa.


Tempahan dan pemasangan produk Coway.Saya Mohamad Helmey Deraman sebagai agen sah Coway sedia membantu menyelesaikan segala masalah anda.

Hubungi Helmey 017.6582874 untuk maklumat lanjut dan khidmat nasihat secara PERCUMA.

No comments:

Post a Comment