Naffnang

Tuesday, January 9, 2018

Cara Mengendalikan Stres

Stres boleh membunuh secara perlahan, oleh sebab itu adalah lebih baik untuk seseorang terutamanya wanita yang berkerjaya boleh mengatasi stres agar dapat menyediakan suasana yang positif di tempat kerja dan juga di rumah. Antara cara–cara mengatasi stres adalah dengan merancang dengan bijak tugas-tugas yang perlu diselesaikan bukan sahaja untuk jangka panjang tetapi juga untuk jangka pendek. Dengan adanya perancangan ia akan membolehkan individu berkenaan untuk melaksanakan tugasannya dengan lebih teratur mengikut kepentingan.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kita tidak boleh lari daripada kerja. Kerja akan sentiasa ada tidak kira di rumah atau di pejabat. Dalam pada itu, gaya hidup sihat adalah sangat penting bagi menghadapi stres seharian. Luangkan beberapa minit dalam sehari untuk menegangkan otot dan mengamalkan teknik pernafasan yang betul. Amalan pemakanan yang sihat juga penting agar ia membolehkan kita menjadi segar, ceria dan bertenaga pada setiap masa.

Setiap manusia adalah unik, oleh itu kita sepatutnya memiliki sikap toleransi sesama rakan sekerja. Sebagai contohnya ada individu menunjukan prestasi yang lebih baik apabila bekerja di bawah tekanan sementara sebahagian yang lain adalah sebaliknya dan mereka memerlukan suasana yang lebih tenang untuk bekerja. Kita harus memahami diri seseorang itu agar ia dapat mengurangkan stres pada diri kita sendiri.

Teknik urut turut memainkan peranan yang penting dalam meringankan stres seseorang. Teknik ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ia boleh dilakukan sesama jantina dan begitu juga dengan pasangan suami isteri. Dengan menggunakan teknik ini, ia dapat menenangkan dan meringankan anggota badan seseorang. Secara tidak langsung ia juga akan mengeratkan hubungan pasangan sekiranya suami yang mengurut isterinya.

Senyuman mempunyai impak yang begitu besar dalam meringankan stres seseorang individu. Orang yang sentiasa senyum juga turut menghadapi stres tetapi dia dapat mengawalnya dengan lebih baik dan mudah berbanding orang yang tertekan dan lupa untuk senyum. Terdapat juga banyak kebaikan daripada senyuman tersebut. Antaranya adalah mengurangkan kadar sakit jantung, ubat penahan sakit yang semula jadi, pernafasan menjadi lebih baik, dapat tidur yang berkualiti, memperbaiki hubungan sesama kawan atau pasangan, membolehkan kita mengurangkan berat badan dan membantu kita untuk sentiasa tampak muda dan cantik.

Konklusinya, setiap insan mempunyai kecenderungan untuk mengalami stres dengan cara yang berbeza begitu juga dengan cara untuk mengatasinya. Ia adalah berbeza pada setiap individu. Tidak kira cara apa diaplikasikan tetapi yang penting adalah menggurangkan dan menghilangkan stres yang dialami agar kita sebagai wanita yang berkerjaya dan berkeluarga dapat berfungsi dengan lebih baik demi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan keluarga.


Rujukan/ Kredit

No comments:

Post a Comment