Ibu, Haikal haus! Haikal nak minum. Tiba-tiba anak kecil berusia
lima tahun berlari-lari ke arah anda sambil tercungap-cungap dahaga
meminta minuman. Wajahnya kelihatan kemerah-merahan dan jantungnya
berdegup kencang selepas kepenatan hampir setengah jam berada di taman
permainan.
Maaf, ibu tak bawa bekal air, sayang. Nanti kita beli air, ya.
Mungkin anda sebagai seorang ibu pernah berhadapan dengan situasi
sama seperti di atas. Pelbagai alasan diberikan termasuk lupa, tidak
sempat dan sebagainya. Namun sejauh mana kepekaan anda mengenai peranan
air kepada seorang kanak-kanak sukar dijelaskan.
Mengulas situasi yang sama, Perunding Dietetik di salah sebuah
hospital swasta di ibu negara, Norhaslina Othman berkata, situasi itu
banyak berlaku terutama di kalangan ibu bapa yang kurang sedar mengenai
keperluan tubuh terhadap air.
Sedangkan katanya, kekurangan air boleh menyebabkan dehidrasi yang
boleh menyebabkan komplikasi perubahan fisiologi sehingga menjejaskan
kesihatan.
Lebih-lebih lagi katanya, kanak-kanak sebaya Haikal yang sudah kehilangan air melalui peluh selepas bermain.
Jelasnya, sebaiknya jangan sampai anak meminta minuman. Jika keadaan
ini berlaku, kanak-kanak ini sebenarnya sudah banyak kehilangan air dan
jika ia dibiarkan akan mendatangkan kesan buruk kepada anak ini,
ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Masalah kekurangan air juga turut memberi kesan kepada orang tua terutama penghidap penyakit kencing manis.
Ini kerana semakin seseorang itu berusia, kebolehan badan untuk
mengekalkan kandungan air di dalam badan semakin menurun, begitu juga
deria mengesan dahaga dan kemampuan badan bertindak balas dengan
perubahan cuaca yang semakin rendah.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai keperluan air kepada setiap
individu katanya, sekurang-kurangnya lapan gelas air disarankan setiap
hari.
Bagaimanapun tidak ramai yang benar-benar mempraktikkan apa yang disarankan, sebaliknya pelbagai alasan diberikan.
Sesetengahnya berpendapat jika minum terlampau banyak air akan
menyebabkan mereka kerap ke tandas dan ini bukan sesuatu yang
digemari, ujarnya yang tidak menolak tanggapan sesetengah individu
dengan pengambilan minuman seperti teh, kopi dan jus buah-buahan sudah
cukup menampung keperluan tubuh mereka setiap hari.
Menurut beliau, seseorang itu juga akan kehilangan bahan elektrolit
(mineral) seperti sodium, potasium dan kalsium yang berfungsi menjaga
keseimbangan cecair di dalam badan.
Kadar kehilangan air merupakan perkara normal bagi setiap individu.
Bagi individu yang aktif, kadar kehilangan air dan mineral lebih banyak
dan perlu diganti segera bagi mengelakkan terjadinya dehidrasi atau
masalah kekurangan air, ujarnya lagi.
Norhaslina juga menjelaskan, hampir 60 peratus daripada berat badan
seseorang adalah berat air. Sekiranya berlaku dehidrasi, badan akan
mengalami perubahan fisiologi yang mungkin boleh menjejaskan kesihatan.
Sayangnya, ia berlaku tanpa disedari.
Selain itu, masalah kekurangan air juga katanya, turut menyebabkan
jumlah darah yang dipam ke seluruh badan berkurangan. Keadaan ini
mengakibatkan jantung terpaksa mengepam lebih kuat untuk membekalkan
darah yang mencukupi kepada semua organ dan keupayaan badan mengekalkan
tekanan darah juga menurun.
Oleh kerana badan kekurangan air, seseorang itu tidak akan berpeluh
dan haba tidak keluar daripada badan seperti biasa. Dalam keadaan lebih
serius, masalah ini akan menyebabkan suhu badan meningkat dan kita
mungkin demam, tegasnya.
Air sangat penting untuk tumbesaran kanak-kanak. |
Bagaimanapun kata Norhaslina, bukan semua kes dehidrasi akan
menyebabkan komplikasi serius, tetapi kehilangan dua peratus berat badan
boleh mempengaruhi prestasi, terutama di kalangan atlit. Golongan ini
akan kehilangan tiga hingga lima peratus berat badan akibat dehidrasi.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan penumpuan tetapi juga tindak balas
dan pertimbangan mereka.
Sikap tidak suka minum air juga kata beliau berkemungkinan juga
boleh menyebabkan organ penting badan terutama buah pinggang tidak dapat
berfungsi dengan baik. Ini terutamanya melaksanakan fungsinya menapis
bahan-bahan toksid daripada air (tindak balas untuk mengurangkan
kehilangan air dari badan).
Di kalangan kanak-kanak, kata Norhaslina, air mudah keluar melalui
cirit birit, bersenam atau berbasikal, tidak terkecuali ketika diserang
demam.
Lagi tinggi suhu badan seseorang, tegasnya, lebih banyak air yang
hilang malah lebih memburukkan keadaan apabila kanak-kanak itu
mengalami muntah dan cirit-birit.
Oleh kerana itu, ibu bapa yang mempunyai bayi atau anak kecil
dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga apabila bayi
mereka mula cirit birit atau muntah-muntah.
Pastikan juga katanya, air yang hilang daripada badan diganti segera
untuk mengelakkan kemungkinan yang tidak diingini kerana kehilangan air
yang berlebihan boleh menyebabkan kematian.
TANDA-TANDA KEKURANGAN AIR
* Cepat letih, kanak-kanak jadi kurang aktif
* Terlalu dahaga
* Mulut kering
* Rasa mengantuk
* Air kencing sedikit dan pekat
* Air mata terlalu sedikit atau tiada apabila menangis
* Lemah otot
* Sakit kepala dan pening
Penunjuk terbaik adalah warna air kencing - sama ada kuning cair atau pekat.
Petunjuk serius
* Kurang berpeluh
* Mata cengkung
* Tekanan darah rendah
* Kulit menjadi kering dan tidak kenyal (bila ditekan, lambat kembali ke bentuk asal)
* Denyutan jantung menjadi cepat
* Demam
* Meracau
* Pengsan
PANDUAN MEMASTIKAN BADAN SENTIASA CUKUP AIR
*Perlu disiplinkan diri anda - Air satu keperluan!
*Bawa bekal air minuman ke mana sahaja anda pergi terutama ke taman permainan atau di dalam kereta.
* Sebaiknya minum air masak atau jus buah-buahan.
* Elakkan minum air bergas.
* Jangan sampai berasa dahaga.
Hubungi agen sah Coway Helmey untuk tempahan dan pemasangan 017.6582874 |
No comments:
Post a Comment