Isu hangat kebelakangan ini mengenai
makanan kantin tidak sihat membuat ibu bapa ragu-ragu dengan jenis
makanan yang di jual di kantin sekolah anak-anak mereka. Bagaimanakah
ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka untuk memilih makanan yang
sesuai dan lebih berkhasiat apabila membeli snek pada waktu rehat di
kantin sekolah mereka?
Makanan snek yang diambil oleh anak-anak pada waktu rehat di sekolah bukanlah untuk menggantikan sarapan atau makan tengah hari. Snek yang berkhasiat boleh membantu mengenyangkan mereka sehingga waktu makan tengah hari dan paling penting memberi mereka tenaga yang diperlukan untuk belajar dan melakukan aktiviti di sekolah.
Piramid makanan. |
Untuk mengajar anak-anak anda bagaimana memilih snek yang lebih sihat, anda mungkin perlu mengunjungi kantin sekolah bersama anak anda dan membantunya memilih jenis makanan yang betul. Ikut petua-petua berikut, khususnya jenis makanan yang patut diambil secara lebih kerap sesekali dan seboleh-bolehnya dielakkan sama sekali.
1. Galakkan anak-anak anda lebih kerap mengambil makanan ini :
Snek yang kurang berminyak dan kurang manis, tetapi membekalkan nutrien yang berguna seperti sandwich dengan inti telur, ayam, sardin atau tuna,kuih apam, pau kukus atau mihun sup dengan sayuran dan daging. Buah-buahan seperti pisang, jambu batu dan epal merupakan pilihan yang baik.
Minuman yang kurang manis dan berkhasiat juga boleh diambil. Antaranya adalah susu (termasuk yang berperisa), susu kacang soya, jus buah-buahan segar dan minuman yogurt.
2. Ajar anak-anak anda supaya mengambil makanan ini sekali-skala (hadkan kepada 1-2 kali seminggu):
Nasi lemak, nasi goreng atau mi/mihun/kuihteow goreng, mi kari. Makanan ini boleh diambil sesekali kerana ianya membekalkan beberapa nutrien penting tetapi mengandungi lemak yang tinggi . Nasihatkan anak anda supaya makan hidangan kecil sahaja(atau separuh).
3. Ajar anak-anak supaya mengurangkan pengambilan snek ini (tidak lebih daripada sekali seminggu)
Makanan yang berminyak mengandungi banyak lemak dan garam seperti pisang goreng, burger, sosej, nuget goreng dan kentang goreng.
Makanan dan minuman manis dan mengandungi banyak gula seperti air sirap, kordial buah-buahan, minuman berkarbonat , gula-gula dan kuih muih manis.
Makanan yang mengandungi banyak garam dan perisa, seperti kerepek/keropok dan snek dengan perasa tiruan.
Akhir sekali ingatkan anak-anak anda supaya sentiasa memastikan makanan yang mereka pilih adalah segar dan bersih dan jangan membeli makanan yang tidak ditutup dengan betul. Jika anda rasa kantin sekolah anak-anak anda tidak menyediakan makanan yang sihat, anda boleh berbincang dengan pihak sekolah semasa mesyuarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) tentang cara-cara kantin sekolah boleh membaiki perkhidmatan dengan menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat.
Makanan sentiasa bertutup. |
Jika anda khuatir
anak-anak anda tidak mendapat makanan yang berkhasiat dari kantin
sekolah mereka, anda juga boleh membekalkan snek dari rumah untuk
dimakan pada waktu rehat. Dengan cara ini anda boleh pastikan anak-anak
anda mendapat segala nutrien penting yang diperlukan untuk menyokong
gaya hidupnya yang aktif.
Sediakan bekal dari rumah untuk anak anda. |
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment